Hari Pekerja. Kali pertama dapat rasa cuti sempena hari pekerja sampai 4 hari. Sebelum-sebelum mulut aku ni tahu bersungut je minta cuti, sebabnya dah lama sangat tak merasa hujung minggu katanya. Tiap-tiap minggu ada aktiviti, kem, jadi fasi, sekali Tuhan bagi cuti 4 hari ni tiba-tiba rasa bosan. Hati pula membuak-buak minta ada program, dasar minta kaki.
Untuk cuti yang tidak berapa panjang bagi warga semenanjung ni, memang tiadalah yang mahu pulang ke kampung. Biasanya masa-masa macam nilah mereka guna untuk teroka Borneo Utara ni. Dan bagi yang jenis berjimat macam aku ni, bilik adalah destinasi percutian aku. Bukan sayangkan duit, aku ada matlamat terdekat aku sendiri. Aku tidak seperti mereka, tidak ada tanggungan. Walaupun masih belajar, masih muda tapi aku dah anggap aku ni sebahagian daripada pencari rezeki untuk keluarga. Dan sasaran aku yang terdekat sekarang adalah untuk menyokong sedikit kewangan keluarga untuk memperbaiki rumah kami yang rosak. Dah tujuh tahun rumah kami tersadai. Diceroboh. Jadi atas dasar itulah aku berjimat, mahu membantu setakat yang aku mampu untuk sedikit keselesaan.
Kawan-kawan aku dari kelas Pendidikan Islam satu kelas pergi buat rombongan ke Kundasang, Ranau. Cemburu tu adalah juga datang menjenguk, mahu diabaikan pun susah juga, kerap bebenor dia datang. Tapi aku pujuk juga hati aku ni supaya bersabar. Tidak bagus cemburu-cemburu ni. Pernah aku terbaca dalam satu majalah tu yang mengatakan, cemburu itu ibarat protes terhadap takdir Allah ke atas seseorang. Melihatkan diri kita yang kerdil bertongkat rapuh ini, tak payahlah nak cemburu sangat, setiap perkara itu boleh jadi suatu bentuk ujian dan kadang-kadang juga suatu bentuk nikmat. Syukur masih diberi peluang perbaiki diri.
Wisma Semarak
Disebabkan kebanyakan warga Sabah ni pulang ke kampung halaman masng-masing, kami yang di asrama ini pun tinggal beberapa kerat saja. Lagi-lagi penghuni lelaki. Memang dah jadi kebiasaan pelajar lelaki lebih sedikit berbanding pelajar perempuan, tidak kira di mana-mana IPT pun. Jadi timbullah masalah untuk solat jumaat di sini. Kebiasaannya yang memenuhkan masjid bagi melayakkan solat Jumaat dijalankan di sini adalah tenaga pengajar, staf-staf dan pelajar. Masa cuti macam pensyarah manalah yang rajin datang bertandang ke sini. Masa dah semput nak masuk waktu solat barulah kami terkinja-kinja cari masjid mana nak pergi. Aku cadangkan pergi masjid luar, memandangkan bilangan kami yang memang tidak mencukupi. Kemudian muncul pula seorang hamba Allah ni bagi idea BAEKKKK punya. Dia cakap memandangkan warden kami tidak dapat dihubungi (minta ajak warden solat di masjid luar), maka dia pun menyeru kami warga Wisma Semarak ni supaya solat Zohor saja di masjid. Tidak lama lepas tu, dengarlah dia melaungkan azan dengan yakin. Masa tu aku rasa nak marah pun ada, rasa nak gelak pun ada. Mazhab manalah yang meyakinkan dia ni.
Aku dengan 3 orang kawan aku pun tidak hiraukan azan dia tu, kami laju je meluncur ke pagar asrama, tekad mahu solat di masjid luar. Sampai je di luar kawasan asrama, takdir Allah menemukan kami dengan seorang pensyarah yang tinggal di kuaters, berjalan mahu ke masjid. Kami pun meyakinkan dia yang solat Jumaat tidak boleh dijalankan di sini kerana bilangan jemaah yang tidak mencukupi. Dia pun bersetuju mahu bawa kami solat di masjid luar, dengan si muazzin tu sekali. Masuk je si muazzin tu dalam kereta, laju je pensyarah tu tanya "Ramai juga makmumnya, Mal?". Kami yang di belakang ni tertahan-tahan gelak. Hahahaha. Itulah, lain kali jangan nak memandai sangat kalau ilmu tu kurang, bukanlah aku nak cakap aku ni serba tahu, tapi sekurang-kurangnya bincanglah dulu, minta pendapat. Ini tidak, ikut kepala dia saja, kan dah malu. Hihihihi.
No comments:
Post a Comment