Fizik lagi. Subjek yang paling kerap hilangkan mood aku, buat badan aku jadi lesu, putus asa, meratap merintih (over sikit) dan kadang-kadang buat muka aku nampak macam beruk mengeram. Jujur, aku tidak suka fizik. Aku sendiri tidak tahu kenapa. Mungkin sebab minda aku dah tetapkan untuk tidak suka subjek tu. Susah? Aku tidak pernah anggap ada sesuatu subjek atau pelajaran khususnya sebagai susah, ekstrem, mahu tercabut nyawa atau yang sewaktu lagi dengannya. Pada aku, jika sesuatu perkara itu susah, macam mana ada orang yang boleh berjaya dalam bidang itu? Itu yang selalu aku pegang, sampai sekarang, walaupun hakikatnya gagal memotivasikan aku bila sampai pada benda fizik ni. Hehehehe..
Hari ni aku dapat tahu markah kerja kursus fizik aku. 65. Ketiga paling rendah dalam kelas. Malu, rendah diri, rasa tak berguna tiba-tiba menyerbu. Keberapa paling rendah atau paling tinggi tidak penting sebenarnya, yang penting adalah markah itu sendiri. Kalau paling tinggi tapi 65 buat apa kan? Hahahaha.. Aku tahu usaha aku sebenarnya tidaklah seganas mana pun. Mungkin setimpal sudah balasan yang aku terima ni. Tapi kecewa itu selalu ada. Selalu. Sebab benda fizik tidak pernah ceriakan aku. Buntu kepala otak fikir, kenapalah aku susah sangat nak terima fizik dalam hidup aku.
Sebelum aku mohon IPG ni, aku fikir opsyen Sains ni belajar subjek Sains sekolah rendah, atau paling tinggi pun Sains menengah atas, (ampunkan pemikiran cetekku), rupa-rupanya silibusnya sama macam di matrik, asasi sains, atau tingkatan 6. Jadi sekali lagi Allah ketemukan aku dengan fizik walhal aku dah nekad, selepas SPM aku dah tak nak belajar fizik lagi. Namun jodoh kami kuat. Fizik ni mengada-ngada nakkan aku, aku jual mahal. Jadi bagi anda yang nak jadi guru sains tapi tak suka belajar subjek sains yang tertentu tu mungkin anda silap ya, anda tidak boleh lari dari benda ni semua. Matikan niat untuk jadi guru sains, ataupun lupakan niat mahu jadi cikgu tu sekali. Hahahaha.. Sekarang tinggal beberapa hari saja lagi sebelum peperiksaan akhir. Walaupun markah peperiksaan untuk subjek major hanya mewakili 50% daripada markah keseluruhan, aku tetap tidak yakin mampu skor cemerlang dalam peperiksaan. Apatah lagi sejak tahu markah kerja kursus. Aku sangat-sangat down sekarang. Muka pun macam apa je masa menaip ni.

Memujuk hati yang lara...
Tapi kan, yang dapat markah tinggi tu adalah beberapa orang yang nampak kesungguhan dia, tapi ada juga satu orang yang buat aku menyampah dengan markah dia. Ini bukan nak mengumpat, tapi nak pujuk hati aku. Hahahaha.. Usahanya last minute, copy kerja orang sikit-sikit supaya senang kerjanya, tapi markah dia meletup habis. Memanglah dia ni expert sikit daripada kami yang anak-anak ikan ni kalau bab belajar, tapi kalau bab kerja, hampeh. Jadi dari situ aku nampak bahawa markah yang tinggi itu sebenarnya tidak membawa makna yang besar jika perangai, sikap kita sendiri tidak menggambarkan kita layak menerimanya. Usaha aku memang kecil, jadi kecillah yang aku dapat. Tapi kalau usaha kecil disertakan dengan menipu besar, insyaAllah, besar juga kot kau dapat. Hehehe.. But no worries, di situ kita nampak lemahnya penilaian manusia. Ingatlah kata-kata yang tidak berpujangga dari aku, "Manusia menilai pada hasil, tetapi Tuhan menilai pada usaha". Jadi pastikan usaha itu dahulu berkat sebelum menimba hasil. Walaupun aku punya usaha kecil, tapi alhamdulillah aku jujur. Bukan mahu membangga diri, tapi itu yang dapat memujuk hati aku. Moga dapat dielakkan daripada riyak.
Jadi sekarang, fokus pada peperiksaan. Tapi hidup dan mati aku tetap kena berasbabkan Allah. Lupa Allah rosak semua. Jangan sampai kerana peperikasaan, solat jemaah kelaut, akhlak ke langit, hubungan dengan manusia ke tanah. Biarlah seimbang. Kejar dunia tidak salah, tapi jangan sampai bertuhankan dunia sekali. Kejar akhirat, dunia pun dapat kan?
p/s: tengok movie dulu bhaaaaaa....