Saturday, 4 July 2015

Bubur Lambuk

Baru aku sedar hari ni dah masuk Ramadan yang ke-18. Itu pun sebab terbaca di Facebook. Culas betul aku mengira ni. Sedar-sedar dah nak habis Ramadan. Paraiii..

         Semalam ada aktiviti masak-masak di masjid. Mula jam 11 pagi, tapi pukul 11 pagi masih di bilik, tunggu orang panggil. Hehe.. Semasa zaman junior semester 1, seorang pensyarah aku pernah keluarkan kenyataan yang pada pendapat aku kebanyakan orang akan setuju,  "Hari Sabtu adalah hari tidur sedunia". Haha.. Memanglah kan? Korang yang hujung minggunya Sabtu dan Ahad mesti akan tunggu hari Sabtu, sebab nak rehat habis-habisan punya. Atas alasan itulah aku bermalas-malasan di bilik, dan ada sedikit sungutan di hati bila dikerah untuk memasak.

        Program masak-masak yang dibuat ni sebenarnya di bawah Biro Dokumentasi, diorang memang dah tak ada aktivit nak anjur, jadi main rembat saja yang mana berkenan. Dan juadah yang dimasak adalah bubur lambuk. Tujuan asalnya adalah untuk dibahagikan kepada penduduk di Inderasabah. Kehadiran ahli JPP memang mengecewakan. Kalau aku sendiri tidak hadir bertambah lagi kekecewaannya. 

        Kami mula masak lebih kurang pukul 12.30, selepas semua bahan siap disediakan. Memasak bubur lambuk ni memang lama dan leceh. Sebab itu kena buat ramai-ramai. Dan aku macam biasa berfungsi sebagai penyedia bahan dan tolong godak. Haha.. Aku mana reti masak. Kira ok jugalah sebab ini pengalaman pertama aku masak bubur lambuk.

        Selepas pukul 4.30 petang, bubur lambuk siap dimasak dan cepat-cepat dibungkus, sebab kalau ikutkan tentatif, sepatutnya dah selesai pengagihan. Mungkin si pembuat kertas kerja pun baru rasa pengalaman pertama masak bubur lambuk, sebab itu tersasar jauh dia punya anggaran masa. Bertambah 'seronok' pengalaman aku ni bila 3 orang lelaki hilang dari situasi. Tinggallah aku dengan si Sabfil, untuk mengangkut bubur lambuk sebanyak 100 bungkus. Syukur ada junior 2 orang, Syukri dan Azmie yang sudi membantu. Mereka ikut sama mengagih bubur di sana. 

        Perjalanan mengambil masa dalam 20 minit. Sesampainya aku di sana, terkejut beruk melanda jiwa dan raga aku. Sangkaku kami akan mengagih bubur di kampung biasa yang berlantaikan tanah, rupa-rupanya di perkampungan nelayan yang rumahnya terpacak di atas air. Mula-mula masuk ok, sebab jalan dia lebar lagi dan berpaku. Bila dah masuk dalam sikit mulalah jumpa jalan yang hanya ada 3 keping papan yang melengkung apabila dipijak dan tidak berpaku. Terserlahlah aku punya gayat di depan orang. Sampai penghuni di situ pun tidak putus ingatkan aku untuk berhati-hati. Hahaha.. Ketara betul gayat aku ni. 


        Selesai mengagih bubur, kami pun dengan yakin dan suka ria berjalan balik ke pacuan empat roda. Sampai di kereta,baru kami perasan rupa-rupanya ada lagi satu kotak yang belum diagihkan. Banyak pula tu. Haha.. Kelam kabut semua dibuatnya. Kami pun main serah je pada siapa-siapa yang ada depan mata. Sebab memang dah dekat waktu berbuka. Sampai di IPG, tinggal lagi 10 minit sebelum berbuka, yang hairannya cuma ada 3 orang yang datang untuk berbuka walaupun hidangannya banyak. Sampai waktu berbuka pun memang tidak ramai yang datang sampaikan banyak makanan yang lebih. 

        Sebelum ni aku pernah dengar dari mulut kawan aku, yang suami seorang pensyarah yang guide kami masak itu sebenar masakannya tidaklah sesedap mana, cuma lagaknya yang lebih. Semalam semasa memasak memang aku kagum dengan dia punya kemahiran dan ilmu, sampaikan bau bubur lambuk menguasai kawasan dalam masjid. Tapi bila aku makan, rasanya macam kurang. Hahaha.. Tak tahulah sama ada kami yang tersalah buat atau memang dia yang terlebih lagak.